Perkara yang paling berharga dalam kehidupan ini adalah maruah yang tidak tercalar. Maruah bagi seorang wanita dan maruah bagi seorang lelaki didefinisikan dengan cara yang berbeza. Pada seorang wanita, maruah bermaksud kesucian diri yang harus dijaga agar tidak diragut atau dimusnahkan oleh seorang lelaki yang bukan muhrim. Manakala maruah untuk seorang lelaki bermaksud keupayaan dan keyakinan untuk hidup berdikari tanpa bantuan sesiapa.
Aku menyokong kedua-dua pendapat tersebut.
Maruah seseorang itu tidak terletak hanya pada tubuh badan yang perlu dijaga, malah maruah juga akan dinilai melalui cara kita 'survive' dalam hidup tanpa bantuan sesiapa.
Maruah yang tertinggi adalah apabila kita mampu mengimbangi keseluruhannya dari sudut mata dunia dan akhirat. Hal ini demikian kerana sebagai individu yang bijak, kita tidak seharusnya membelakangi salah satu darinya. Dunia dan akhirat perlu saling diimbangi.
Antara sebab maruah diterjemahkan sebagai kesucian diri yang perlu dijaga...
Sebagai seorang wanita yang sedang meningkat dewasa, aku tidak menolak perasaan ingin tahu dan merasai cinta itu bagaimana. Sungguhpun demikian, aku masih berpegang kepada prinsip menjaga batas pergaulan dengan lelaki.
Aku mengaku, semasa zaman remaja aku dahulu...aku sendiri kurang ambil berat tentang ini hingga suatu hari, maruahku sebagai seorang remaja dicabar ketika sedang bekerja. Hampir 3 bulan aku trauma. '...menyesal kemudian tiada guna', baris akhir kata-kata nasihat orang-orang tua. Aku terima apa yang terjadi. Aku percaya dan yakin, ada hikmah disebalik semua yang terjadi.
Antara sebab maruah sebagai keupayaan dan keyakinan untuk hidup berdikari tanpa bantuan sesiapa...
Dalam usia yang semakin meningkat dewasa, aku juga berprinsip sebegini pada awalnya. Siapa mahu hidup terkongkong, semua orang mahu hidup bebas dengan memilih hala tuju sendiri.
Meniti alam remaja sendirian membuatkan aku semakin mengenali diri aku dari suatu sudut yang berbeza. Aku dikatakan kuat dan sukar untuk putus asa tatkala diuji dengan pelbagai ujian hidup, menguatkan ketekalan aku dalam menempuh dugaan yang sebenarnya tidak pernah aku harungi sekuat yang diperkata. Setiap dugaan yang datang pada aku adalah tanda sebuah permulaan yang baru.
Masih segar dalam ingatan aku akan setiap dugaan yang datang menduga sejak usiaku 5tahun. Aku diduga dalam usia yang terlampau mentah apabila direnung kembali. Kawan-kawan lain masa usia 5tahun, 'enjoy' jadi budak-budak...tetapi aku dalam usia itu telahpun diduga dengan ujian hidup.
Kalau dahulu, aku memandang dunia ini kejam. Sebab aku tidak pernah diajar bagaimana untuk berani hadapi cabaran yang mendatang. Hidup tanpa keakraban dan kemesraan dari ibu dan ayah buat aku rasa menyesal matang diusia yang terlampau kecil.
Namun begitu, setelah aku meningkat usia...aku kejar semula kasih sayang yang aku buang dulu. Pada mulanya, aku terasa kekok untuk bermanja semula dengan ibu dan ayah. Sebab aku dah 'tua' untuk itu semua. Tetapi apabila aku lihat abang dan kakak ipar aku yang tidak pernah malu untuk minta apa sahaja yang mereka mahu, aku turunkan ego aku serendah-rendahnya untuk kutip semula kasih sayang yang aku nafikan dulu.
Maruah pada aku, tidak terletak hanya pada tubuh badan yang perlu dijaga...tetapi maruah juga adalah suatu proses untuk kita belajar hidup berdikari. Namun, hidup berdikari tidak semestinya kita perlu ego sampaikan tidak mahu ada orang tolong langsung.
Maruah yang sebenar adalah apabila kita tahu di mana kita berdiri dan melangkah untuk mengenal dunia Tuhan yang indah ini.
# aku melangkah mengenal dunia untuk mengenali diri sendiri
# dugaan yang datang adalah sebagai batu loncatan untuk aku lebih cekal hadapi dunia
Great ! Keep it on !
ReplyDelete